Monday, January 21, 2008

Jurus-jurus Silat MTB

Adapun hamba bukanlah manusia yang handal dalam ilmu persilatan maupun ilmu alam atau ilmu hisab. Maka karena tiada tahu hamba, lalu hamba pergilah berguru kepada beberapa orang guru yang handal-handal. Walaupun guru-guru hamba handal belaka, tiadalah hamba menjadi handal seperti mereka akan karena bebalnya hamba. Walau banyak ilmu yang cuba diajar, sedikit sahajalah yang hamba mendapat. Maka dipesan akan guru hamba, ilmu walau sedikit kalau disebar akan menjadi banyak, maka menurutlah hamba kan pesan guru hamba.

Dengan rendah diri hamba cuba perturunkan sedikit jurus-jurus yang hamba telah pelajari untuk dikongsi bersama dengan tuan-tuan;

1. Jurus Telunjuk Lurus Jari Hantu Berkait

Jurus ini amat sesuai untuk mereka yang menggunakan shifter jenis rapid fire. Jari telunjuk pada penukar gear manakala jari hantu pada tuas brek. Maka dengan itu tiadalah perlu beralih-alih jari apabila mahu menukar gear atau menarik tuas brek. Akan tuas brek itu tiadalah perlu kepada beberapa jari melainkan satu jari sahaja iaitu jari hantu. Maka jari-jari manis dan jari kelingking bolehlah disimpan untuk kegunaan lain. Jari manis buat disarung cincin dan jari kelingking guna buat mengorek hidung.

2. Jurus Pak Maun Menari Twist

Jurus ini dinamakan sempena Pak Maun yang teramat gemar menari twist dan membaca syair. Gerakan ini menggunakan sendi lutut dan buku lali. Gerakan bermula dengan menggerakkan lutut ke sebelah luar seraya dengan itu buku lali juga digerakkan ke arah luar supaya kaki jadi mencapah. Guna jurus ini ialah kepada mereka yang memakai sepatu yang boleh melekat kepada rakap (pedal). Jurus ini kalau tiada dimahiri nescaya akan kelihatanlah kejadian tumbang tanpa sebab bagai nangka dan cempedak busuk jatuh bedebab. Jurus ini wajib dimahiri bagi mereka yang memakai sepatu melekat berkelit. (cleat). Jurus ini boleh dimantapkan lagi dengan latihan diiringi lagu twist.

3. Jurus Monyet Memeluk Dahan

Jurus ini memerlukan depaan tangan yang kemudian dikuncupkan. Tangan kanan akan bertemu tangan kiri seraya membentuk satu bulatan sambil tangan kanan dan kiri memegang erat satu sama lain dengan jari jemari disulamkan di antara tangan kanan dengan tangan kiri. Guna jurus ini ialah supaya dapat memegang sesuatu yang sebesar sepemeluk atau kurang. Jurus ini amat berguna apabila menuruni bukit dan basikal meluncur melebihi had laju ditokok dengan brek yang tiada makan. Apabila ini berlaku, penunggang melontarkan dirinya dari basikal sambil mencari pohon-pohon sebesar sepemeluk atau kurang. Apabila mendapati pohon yang sedemikian, penunggang perlu menggunakan jurus ini untuk memeluk pohon tersebut supaya tiadalah penunggang terhumban ke bawah gaung dan mendapat kesakitan dan kelukaan.

4. Jurus Goyang Bontot Harimau Berantai

Jurus ini penting bila menuruni cerun terutama yang curam lagi menggayatkan. Langkahnya, sebaik menghampiri cerun, apabila tayar hadapan mula menurun, kemaskan genggaman pada hendal. Berdiri di atas rakap sehingga bontot melepasi pelana. Goyangkan sedikit bontot ke kiri sekali dan ke kanan dua kali seberapa cepat. Kemudian hayunkan bontot ke belakang pelana dengan memastikan ada sedikit jarak kelegaan di antara "anu" dengan pelana supaya tiada berlaku perlanggaran dan kecederaan kepada anu. Untuk lebih berkesan dan merasakan lebih bersemangat sayugia juga mengaum sedikit sepertimana mana harimau ketika menghayun bontot ke belakang pelana.

InsyaAllah, jurus ini membolehkan tuan hamba menuruni cerun dengan lebih yakin dan selamat karena berat tuan hamba telah dipindahkan ke belakang. Ini akan membantu kenderaan tuan hamba "melekat" kepada cerun dan tuan hamba tidak dihumban ke hadapan.

Hamba ingin mengingatkan bahawa bontot itu jangan terlalu direndahkan karena khawatir bontot tuan hamba akan disagat oleh tayar belakang tuan hamba. Adapun jika berlaku sedemikian akan kesakitanlah nanti dubur tuan hamba dan sukarlah nanti tuan hamba melepaskan hajat.

5. Jurus Kuda Galak Menunjal Hadapan

Umpama kuda menunjal kaki hadapan, jurus ini memerlukan tuan hamba mengangkat tayar depan basikal tuan hamba sama ada untuk seketika atau untuk beberapa lama bergantung kepada tahap kemahiran tuan hamba. Jurus ini berguna untuk membantu tuan hamba melepasi halangan-halangan dalam rupa kayu, batu atau bonjolan tanah. Jurus ini juga akan menjadi jurus asas kepada jurus-jurus lain yang akan dibicarakan kemudian.

Sepertimana lazim, sebelum berlatih jurus ini pastikan tuan hamba sedia berpakaian keselamatan. Tiadalah hamba mahu dipertanggungjawabkan sekiranya berlaku kemalangan ke atas tuan hamba. Sayugia juga diingatkan, sekiranya tuan hamba memakai sepatu berkelit, berhatilah. Janganlah tuan hamba pasakkan kelit tuan hamba kepada rakap. Nescaya mengundang bencana sekiranya tuan hamba tiada dapat melepaskan kaki tuan hamba apabila berlatih menggunakan jurus ini.

Jikalau tuan hamba sudah bersedia, marilah kita memulakan. Sebagai persediaan, letakkan piring gegancu tuan hamba pada piring tengah, manakala piring belakang juga sesuai menggunakan piring tengah.

Kayuh perlahan-lahan lagak kuda berjalan santai adanya. Kemaskan pegangan pada hendal. Apabila rakap berada pada kedudukan pukul dua, henjut badan ke belakang sambil tangan merentap hendal seolah mahu mengangkat hendal. Serentak dengan itu, tujah pedal sekuat hati supaya basikal meluncur ke hadapan. Gabungan angkatan hendal, pindahan berat badan ke belakang dan tujahan engkol akan mengangkat tayar depan. Jangan lupa kedudukan punggung masih lagi di atas pelana. Tuan hamba perlu terus berkayuh sambil menyeimbangkan putaran engkol dengan kelajuan yang sesuai. terlalu perlahan, tayar depan akan kembali ke bumi. Terlalu laju, tuan hamba akan terlentang.

Dalam beberapa cubaan awal tuan hamba mungkin hanya mampu mengangkat sedikit sahaja tayar hadapan. Tidak mustahil juga kalau tuan hamba akan terlebih "angkat" sehingga basikal hampir terlentang. Tuan hamba perlu banyak mencuba sehingga tuan hamba dapat merasa sendiri di mana titik keseimbangan tuan hamba. Apabila titik keseimbangan sudah didapati, tuan hamba bolehlah berkayuh di sekeliling desa dengan hanya tayar hadapan tergantung diawangan. Barang diingat, penduduk desa mungkin tidak menyenangi perbuatan tuan hamba terutama kalau tuan hamba telah lanjut usia. Tuan hamba mungkin akan dianggap mat rempit dan akan dilempari dengan kata nista, kalaupun tidak dilempari dengan telur tembelang atau buah tomato busuk. Jangan dikata hamab tiada memberi amaran.

Hamba ingin mengingatkan bunyi dari ceritera hamba ini seolah senang sahaja membuat jurus kuda menunjal ini. Padahal, tersangatlah sukar. Hamba sendiri masih tiada berjaya melakukannya walau sudah berlatih sekian lama malah sudah beberapa kali pergi bertapa ke Bukit Kiara dan Gunung Gombak untuk memantappkan jurus ini namun masih tiada berhasil...

Hamba rasa cukuplah dulu sebagai permulaan. Masih ada beberapa lagi jurus-jurus yang hamba ingin kongsi bersama. InsyaAllah pada lain masa jika diizinkan Tuhan. Semoga kita semua mendapat manfaat dari ilmu yang sedikit ini. Allahualam.

No comments: