Sunday, March 15, 2009

Kulim Hi-Tech Exploration 2009...Eksplorasi Kedai Basikal

Waktu balik ke Kulim pada 7 Mac 2009, sambil balik kampung isteri sambil join ride Kulim Hi-Tech MTB Exploration 2009, saya sempat berkunjung ke 2 buah kedai basikal yang boleh dikira terkenal di kalangan pembasikal Kulim. Kedua-duanya milik bumiputera. Syabas!!! Payah nak jumpa kedai basikal milik bumiputera nih. Selain itu, kita harus berterima kasih juga kepada mereka kerana telah membantu melepaskan kita daripada tuntutan fardhu kifayah...Bukan soal kecik anak nih. Maka saya menyeru kepada semua pembasikal muslim lagi beriman, bantulah mereka kerana mereka telah membantu kamu. Semoga Allah memberkati usaha mereka dan dimurahkan rezeki mereka. Amiinnnnnn.



BESTKAL

Nama yang agak nakal. Sebutan basikal dimanipulasi dengan perkataan BEST + KAL. Maksudnya macam "basikal yang best-best ada kat sini" Sekali sebut BESKAL...Kan best tuuuu...Nakal si Jamil.


Kedai Best Kal - dari depan

Kedai ini terletak di No 853, Taman Kempas Indah 3, 09000 Kulim, Kedah. Dimiliki oleh saudara Jamil. Bestkal boleh dihubungi melalui Tel/fax : o4-4950706 atau HP : 019-4738580/012-4919024 (24 Jam kata Jamil) e-mail: jarrmiel@gmail.com.

Jamil yang gigih di ruang pomennnya.
Menurut Jamil, kedai telah diusahakan lebih 2 tahun, dan alhamdulillah, agak memberansangkan. Jamil sendiri seorang pembasikal tegar. Masih aktif mengayuh, sama ada kayuhan di jalanan menggunakan basikal lumba atau menerjah denai-denai lasak menggunakan basikal lasak. "Cuma kena hati-hati sikitlah...", cerita Jamil. "Maklum tulang dah masuk besi...".

Pertemuan singkat walaupun belum pernah mengenali tidak terasa kekok kerana Jamil seorang yang peramah. Mudah mesra. Saya rasa pelanggan mesti senang nak berurusan dengan dia.



Deretan basikal dalam kedai
Bestkal menawarkan basikal biasa untuk kegunaan harian dan basikal "performance" sama ada basikal lumba atau basikal lasak. Dari harga ratus-ratusan hingga mencecah puluhan ribu...Tak percaya? Tinjauan saya mendapati harga yang ditawarkan adalah berpatutan.



Ruang menunggu dan bahagian alat ganti
Susun atur kedai teratur dan kemas. Saya perhatikan alatan tersusun rapi bila tidak digunakan, satu tanda seorang yang kemas, teliti dan sistematik. Hampir dengan ruang kerja, satu meja bulat dengan 4 kerusi disediakan. Buat pelanggan santaian sambil menunggu basikal diservis. Dekat dengan ruang kerja. Saya tak tau orang lain macam mana, tapi saya suka aturan ini kerana saya suka memerhatikan basikal dibaiki. Boleh juga hilang bosan mendengar celoteh Jamil yang rajin bercerita dan sarat dengan pengalaman.



Sepanduk Orbea terpamer megah
Bestkal membawa pelbagai jenama. Dalam semua itu, Bestkal memberikan tumpuan istimewa kepada jenama Orbea, pembuat basikal berpengalaman dari Sepanyol. Sepanduk Orbea tergantung gah di dalam kedai. Kepada pembasikal dari utara, bolehlah mengendeng-ngendeng Jamil untuk jentera-jentera Orbea yang terbaru. Khabarnya, Orbea menawarkan beberapa model hebat untuk siri pengeluaran 2009.




MTB EXTREME


Kedai MTB Extreme

Satu lagi kedai yang sempat disinggahi ialah kedai MTB Extreme.MTB Extreme juga biasa dipanggil kedai Cikgu, ini terletak di N3258, Lorong Selasih 2A/1, Taman Selasih, 09000 Kulim, Kedah.. Tidak jauh dari Kedai Bestkal. Dimiliki oleh Cikgu Saidin atau lebih mesra dipanggil Cikgu saja di kalangan pembasikal Kulim dan sekitarnya. Cikgu merupakan orang "lama" yang masih lagi bergiata aktif dalam arena berbasikal. Selain itu, beliau juga penggiat aktiviti luar lasak. Urusan kedai dibantu oleh Edihan (Edi) dan isterinya, Eja. MTB Extreme boleh dihubungi melalui HP : 019-3639042 (Edi) atau e-mail: cikgu.mtb@gmail.com.



Ruang pameran utama

Lagi basikal dalam ruang pameran utama
Melangkah masuk ke kedai sewaktu hujan renyai tidak melembapkan semangat untuk melawat kedai ini. Ada beberapa orang pelanggan di luar dan di dalam kedai. Ada yang tadinya berjumpa di Kulim Hi-Tech Business Center sewaktu mengambil goodie bag. Biasalah, sebelum acara, masing-masing mahukan jentera disiap siaga untuk mengharung cabaran esoknya. Kedai terbahagi 2, bahagian luar dan bahagian dalam yang dipisahkan dengan dinding kaca. Bahagian luar adalah ruang pameran basikal dan ruang servis. Deretan basikal menghiasi dinding dari berbagai jenama.



Edi dan Eja sibuk melayan pelanggan...
Puas berlegar di ruang utama (jenuh berperang dengan rasa), kaki melangkah pula ke sebalik dinding kaca. Di dalam, Edi dan Eja sibuk melayan pelanggan. Edi dengan pelanggan basikal, Eja dengan "pelanggan" kecilnya. Saya tidak sampai hati nak minta mereka berposing untuk kamera murahan saya. Bukannya saya dari akhbar atau majalah. Hanyalah seorang blogger picisan. Sesekali Cikgu muncul dan menyertai kesibukan dalam kedainya. Masih cargas walau rambut dan janggut sudah luntur warna. Ruang dalam di isi dengan kaunter perkhidmatan, ruang santai lengkap dengan sofa, 2 rak alatan dan di sudut dinding tergantung beg-beg galas aneka saiz.



Komponen yang boleh membuatkan anda sawan

Deretan fork yang menggamit dan memukau...
Sedikit pesanan untuk pengunjung, harus waspada dan berani jika mahu melangkah masuk. Sama ada anda masuk dengan ilmu tebal di dada, atau...dompet tebal di saku. Saya nyaris rebah tersungkur dengan godaan fork RS Recon yang termasuk dalam senarai "teringin" saya. Mujur isteri ada bersama untuk mengingatkan dan menyabarkan saya. Dalam pertahanan yang mampan itupun tertewas juga. Satu set kabel shifter nylon braided warna putih berjaya mengikut saya balik.

Deretan kedua juga boleh membuatkan anda diserang sawan...sawan upgrade. Komponen terpamer dalam lemari kaca dengan lampu spot menyilaukan mata dan mudah membuatkan air liur diteguk dan ditelan tanpa sedar. Untuk tujuan keselamatan juga, gambar bahagian ini saya kecilkan bagi megurangkan kesan sawannya. Harga yang ditawarkan memnag pada aras harga berpatutan.



Aneka beg galas untuk aktiviti luar lasak
Sebagaimana disebutkan, kedai ini juga menawarkan aneka barangan untuk aktiviti luar lasak seperti khemah dan perlatannya, beg-beg galas untuk aktiviti kembara. Juga sudah semestinya termasuk jersi-jersi basikal dan pakaian berbasikal yang lain.

Jadi jika anda berkunjung ke Kulim, luangkan masa untuk menjengah kedai-kedai ini. Kita lihat sama ada anda berjaya pulang tanpa membeli apa-apa. Kussss semangat.

1 comment:

Anonymous said...

Isteri duk kat kulim mana.

Kampung saya kulim juga.