Tuesday, February 23, 2010

Ni Yang Aku Tak Berkenan Pergi Kiara...

Pada suatu hari Sabtu, aku pergi ke Kiara. Ada kawan yang datang dari Penang. Susah payah angkut basikal sebab nak merasa penangan Kiara. Ada la kekawan lain yang teringin nak ikut sama. Ada satu Banshee Rune yang baru siap disetup juga ikut sama.

Bila dah semua sampai dan siap sedia, kamipun mulalah kayuh dari Taman Rimba Kiara. Mula-mula jalan tar. Boleh kayuh sambil sembang-sembang. Lepas tu masuk kot satu celahan kat pagar. Awal trailhead dah singletrack. Dah terpaksa layan kayuh-kayuh cilok-cilok. Jalan menurun pulak tu. Dah terlayan downhill sikit. Tak sempat nak ambil nafas.

Baru sedap layan, DH pendek dah habis. Terpaksa mengadap lung buster pulak. Kayuh sikit saja, lepas tu terpaksa tolak. Aku tak kisah sangat la bab kayuh atau tolak. Biasa la kalau main mountain bike. Tak nak macam tu, dok rumah saja la. Cuma aku rasa ralat sebab tak sempat nak keluarkan kamera untuk ambil gambar.

Lepas tu layan upper carnival pulak. Semua mendaki siap dengan switchback lagi. Tolak lagi...Sampai jumpa exit tarmac kat Chunder Junction. Dapat la rehat kejap. Aku dah basah dengan peluh. Heartbeat dah huru hara. Pian yang sentiasa depan aku geleng kepala..."Macam ni Kiara ya?". Patutnya tengah rest macam tu sempat la ambik gambar. Tapi aku tak ambik jugak. Satu, lenguh tangan sampai tak lalu nak angkat kamera. Dua, apa barang ambik gambar tengah rehat! Macam mana nak menunjuk kat kawan-kawan.

Kemudian, masuk pulak ke 4K. Aku bagi tau semua, "Payback time!!!". Dank suka sangat. Memang tergedik dia nak mengasah Rune dia. Aku masuk dulu. Pian laju saja follow. Berdesup!!! Sampai simpang nak ke kolam, aku berenti sebab nak pastikan yang lain ikut simpang yang betul. Dank mari meluru. Sama ada brek dia tak makan, atau dia yang tak makan saman. Laju semacam sampai salah arah. Sebaik membetulkan posisi, braappppp, dia titik lagi Rune dia. Kesian kat Rune. Sekali lagi aku tak sempat nak ambik gambar. Akupun tak boleh tahan. Brap jugak, walaupun slow sikit. Zrasss..kena switchback kiri, turun lagi, kemudian mencanak drop dengan akar berselirat. Depan ada jambatan sempit merentang parit. Seriau. Mujur lepas.

Kemudian jambatan sempit lagi. Lagi panjang. Ada la 12 kaki kot. Hantam saja kayuh. Lepassss...Kemudian kena tolak lagi. Lepas tu ambik kanan, kayuh sekejap. Tolak lagi. Curam nak mampus. Nasib baik pendek saja. Dah berjumpa tarmac. Rilek kejap. Malas ah nak keluarkan kamera.

Kayuh atas tarmac kejap aja, kemudian masuk 2K pulak. Masuk saja lepas langkah longkang terus panjat. Amik laluan ikut jam. Tolak lagi. Kemudian barulah joli katak melayan alunan trek 2K. Pian berdesup pegi walaupun baru pertama kali. Banshee Pyre aku macam seronok diperkudakan di 2K. Galak sungguh! Climbing yang sikit-sikit selamat dikerabat. Asal jumpa switchback, dia main gelek dangdut. Frame mantap dan steadyyyy. Gap sekaki dibelasah saja. Marzuki semua gunung menyerap hentakan dengan penuh keyakinan. Tapi...apahal bila akar-akar kecil terasa gegaran? Ooooo...tayar aku pam terlebih keras. Ah...lantak. Malas nak peduli. Janji sedap layan 2K. Kamera masih lagi tak sempat dikeluarkan.

Baru sikit penangan 2K. Rehat jap (lama gak sebenarnya), kemudian sambung balik menyantap 2K. Trail deras beralun, tak banyak karenah, yang sedap dilayan. Aku kandas di teres 3 lapis. Semua salah Dank. Dia meluru turun dari belakang membuatkan aku terkejut sampai hilang imbangan (nasib baik ada alasan!). Dibelasahnya Rune itu cukup-cukup. Pian yang di depan dah selamat meluru turun. Puas hati dia sesangat.

2K bersambung dengan Apollo. Laluan pantas menurun dengan beberapa switchback tajam. Pian meluru pergi. Dank sengaja buka jarak. Rupanya dia nak belasah lagi. Tak terkejar Pyre dengan Rune. Dank macam terlupa ada brek kat basikal tu. Abis gandingan 2K dan Apollo. Semua nampak teruja. Hanya aku saja yang tak berapa. Sebab dah berapa km kayuh, belum sempat ambil gambar yang sesuai.

Sambung kayuhan di atas tarmac sekejap. Kemudian beralih angin daripada singletrack ke jalan doubletrack. Laluan kuda dibelasah. Meluru turun dengan laju. Elok momentum tengah mencanak naik, dah membelok ke kiri. Doubletrack pantas lagi. Mencanak Pian dengan Dank pergi. Hardtailers tertinggal di belakang lantaran gegaran mencecah 7 pada skala Richter. Ada yang dah berkira-kira nak balik potong chain stay dengan seat stay. Nak pasang spring,katanya.

Berhenti rehat sekejap kat anak sungai yang mengalir melintas laluan. Kemudian bermula kerabatan yang memaksa basikal dimanjakan. Tolak la, apa lagi. Tapi Pian macam tak habis kederat. Boleh lagi dia berkayuh. Sampailah jumpa balik dengan tarmac dan pondok. Berehat lagi di situ. Sekonyong Pine muncul di situ. Dah entah berapa round dah dia kayuh. Racerlah katakan. Tempat itu menjadi saksi pengunduran 3 hardtailers (identiti tidak didedahkan atas sebab-sebab keselamatan). Yang lain, aku, Pian, Pine, Dank dan Mizi meneruskan cabaran. Teragak sama ada nak ambil lower dan upper short atau ikut tarmac. Memandangkan keadaan cuaca yang sebegitu (Alasan! Apa kena mengena ngan cuaca entah?), keputusan diambil untuk ikut tarmac sahaja. Rancangan asal untuk ke Wasteland dibatalkan.

Semangat kendur balik bila berdepan dengan pendakian. Nak tak nak terpaksa digagahi. Hajat hati konon nak panjat lagi lepas simpang ke Snake and Ladders, sekali lagi disebabkan cuaca, laluan Snake and Ladders yang jadi pilihan. Snake and Ladders tu bahasa orang kampung aku, kalau cakap melayu Ular Kena Palu. Berbelit-belit dengan hiasan jambatan sempit diikuti switchback batu. Pine mengecewakan yang lain sebab tak lepas panjat switchback batu. Appa daa Pine!

Lepas tu terkujat sekejap dengan jambatan kayu rel keretapi. Tengok longkang tu dah cukup buat darah sereyat. Tolak la beb. Ha! Lepas saja jambatan kayu landasan, baru jumpa ular...Singletrack sempit sendat di celahan Bedah (mana datang Bedah daaaaa...) sori, celahan pokok getah. Dengan akar getah berselirat terbonjol menduga tayar-tayar yang ada. Boleh jugak berkayuh kat situ. Segala skill ilmu yang ada, termasuk ilmu alam, ilmu hisab, semua dikeluarkan untuk bertarung dengan ular. Pergghhhhh...Selamat sampai ke simpang SnL - Twin Peaks.

Acara kegemaran lagi - rehat la. Penat wooooo...Sedang enak bersantai, muncul brader Ayai dengan beskal GTnya. Seorang diri saja dia. Dengan tersipu malu-malu ayam, dia tanya "Boleh join?". Dah tentu boleh. Tambah lagi satu hardtail. Maka beramai-ramailah berkayuh memanjat Twin Peaks. Sepanjang jalan aku jadi tourist guide. Bercerita tentang Angel Jump, wall ride dan teeter totter yang ada kat situ. Ada yang ternganga dan terpegun sampai meleleh air liur dengar cerita aku. Bukan pasal trek, tapi bila aku masuk bab nasi kandar Makbul. Lapar beb...Dah tengah hari.

Biasala la rehat kejap kat tokong sebelum kayuh naik ke atas sikit lagi. Kemudian...jeng-jeng-jeng. Pine mulakan pencak meluru turun dan mengambil laluan ke Flintstones. Perrgghhhh lagi sekali. Singletrack pantas yang merembes adrenalin. Silap aku...silap aku sebab biar Dank di belakang aku. Berdesir rasa dia dok cucuk angin. Pine dengan Rubar ekor kerasnya macam tak peduli ekornya yang memprotes. Belasah semacam.

Saki baki Rock Garden bila bertemu Flintstone membuatkan aku berhati-hati pada mulanya. Kemudian teringat pesan sifu-sifu yang Rock Garden tak boleh dilayan dengan manja. Dengan berani takut-takut, aku lajukan basikal dan...bagai tak percaya bila Pyre seolah terapung di atas batu-batu sebesar bola sepak yang bertaburan di tengah jalan. Marzuki di depan cemerlang. Musang RP23 menjaga belakang. Woooo hoooooo...Rune Dank yang travel 6 inci depan dan belakang jangan ceritalah. Brader Ayai dengan Mizi yang hardtailpun tak boleh tahan dengan trail. Belasah jugak!

Flinstone kemudian bertaut dengan Lower Carnival. Sebahagian dari trek KLMTB Carnival yang terkenal itu. Masih lagi dalam fasa menurun. Memang macam tok bomoh "menurun" sungguh. Macam kerasukan dan hilang ingatan. Laluan pantas sehingga berjumpa lembah sungai. Curam dan mengancam. Aku hanya mampu melorot turun tapi tak mampu menojah naik.

Karnival masih lagi menawarkan hidangan pedas. Teres bertingkat yang sudah dipasang batuan disesah. Singletrack Lower Carnival sudah hampir ke penghujungnya. Aku melaungg bagi tahu semua supaya makan, ratah, jilat apa yang ada sebab hidangan sudah nak habis. Dan tamatlah kayuhan Kiara pada hari itu...

Satu yang istimewa Kiara, ada tempat khas untuk mencuci basikal hasil kerjatangan TRAKS. Agak menyedihkan bila kemudahan yang disediakan seolah tidak dihargai. Berus yang disediakan hilang ghaib. Penyodok pasir yang dibuat daripada botol plastik juga ghaib. Rakyat Malaysia harus belajar mentamaddunkan diri dan menghargai kemudahan awam. Sambil basuh basikal aku perhatikan Pian. Air muka seakan tersenyum. Dan dia mengakui yang memang dia sedang tersenyum. Senyum puasssss...Tidak sia-sia datang jauh dari Penang.

Selesai urusan mencuci basikal, masing-masing membawa haluan. Bermain semula dikotak fikiran gambaran-gambaran keterujaan bermain di Kiara tadi. Ada main balik mental yang konon menilai semula di mana silap kayuhan tadi, di mana boleh diperbaiki, di mana kayuhan rasa teruja dan...hanya beberapa keping gambar saja yang sempat diambil. Dah terrancang-rancang dalam kepala bila nak datang lagi Kiara. Asal aku pergikayuh di Kiara, macam tulah sindrom pasca kayuhan. Rasa puas, tapi tak puas dan nak lagi. Tu yang buat aku tak berkenan nak pegi Kiara tu!

1 comment:

Joe said...

Pandai hang tulis nooo...