Wednesday, April 10, 2013

Sindrom MENONONG

Berkayuh dalam jamboree atau hash tak sama macam kayuh hujung minggu. Kayuh hujung minggu biasanya di denai yang kita biasa. Laluannya kita sudah mahir. Atau setidaknyapun ada kepala yang mahir dengan laluan dan kita cuma main ikut saja.

Tidak begitu bila dalam jamboree atau hash. Bila berjamboree atau hash, kita berada di kawasan asing, kawasan yang kita tidak biasa. Semuanya kali pertama. Semuanya asing dan misteri. Laluannya, rupabuminya, halangan dan cabarannya...Sebagai panduan, laluan akan ditanda. Tandaan yang biasa untuk jamboree ialah riben keselamatan putih merah, semburan cat dan papan tanda. Ada juga menggunakan carikan kertas seperti yang dibuat oleh penganjur hash. Secara peribadi, saya lebih suka teknik taburan kertas kerana ia organik dan nyahbio (biodegradable). Jalur plastik keselamatan mudah dan senang tetapi mengambil masa lama untuk mereput.

Manusia memang cenderung mengikut tabiat. Dan tabiat berkayuh weekend warrior hujung minggu terbawa bila berkayuh jamboree atau hash. Sindrom MENONONG. Sindrom suka berkayuh mengikut orang di hadapan. Sindrom ini tambah parah bila badan sudah letih. Peluh dah membasahi badan, Otot sudah diracuni asid laktik dan ancaman kekejangan sudah bertubi melanda. Kepala sudah dirasuk keinginan mahu segera sampai ke garisan penamat. Perhatian kepada tandaan laluan terabai. Kepercayaan untuk mencari laluan yang betul diserahkan bulat-bulat kepada orang yang di hadapan. Dan...orang di hadapan juga sebenarnya sedang menghadapi krisis dalaman seperti anda. Sesat dan menyesatkan...

Saya sudah menyaksikan banyak kali pengayuh terbabas dan tidak mengikut laluan yang ditandakan kerana hilang tumpuan dan perhatian. Sindrom MENONONG mengambil alih. Kayuh saja ikut orang di hadapan. Akibatnya, badan yang letih bertambah letih kerana terpaksa berpatah balik. Masa dan kederat terbuang sesia.

SELAMATKAN DIRI ANDA DARIPADA SINDROM MENONONG!!!
 

Walau bagaimana penat sekalipun berkayuh, ingat untuk sesekali memeriksa tandaan bagi memastikan anda berada di laluan yang betul. Perkataan SESAT atau salah jalan menambahkan keletihan dan meruntuhkan moral anda.

SEMOGA ANDA SENTIASA BERADA DI JALAN YANG BENAR!

No comments: